Selasa, 22 Mei 2012

Tips Menghindari Perasaan Kecewa

0 komentar
Rasa kecewa atau kesal ada pada setiap orang. Bagi remaja, perasaan ini
memang sudah sinonim. Masalah keluarga, putus cinta dan gagal dalam
peperiksaan adalah antara punca utama. Kebiasaannya apabila sudah
terkena `penyakit' kecewa, ramai yang sukar mengikisnya.

Berasa kecewa atau kesal adalah normal, malah anda boleh dikatakan
`tidak normal' jika tidak pernah berasa kecewa sepanjang hidup!

Bagaimanapun, jangan biar ia menguasai diri hingga mendorong anda
bertindak luar dugaan dan mengalami tekanan yang boleh merosakkan diri
dan kerjaya.

Sebagai remaja, anda perlu mengharunginya dengan matang. Cuba belajar
untuk mengubati kekecewaan. Tidak semestinya rasa kecewa itu akan
berterusan kerana jika kita yakin dan terus bersemangat pasti ada
harapan pada masa depan.

Berikut beberapa panduan untuk membuang rasa kecewa:

** TERIMA KENYATAAN*

Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Sebagai manusia, kita
tidak boleh menentukan kehidupan kerana segalanya bergantung kepada
takdir dan ketentuan Ilahi. Apa yang boleh kita lakukan ialah berusaha
mengubah nasib kita.

Ada ketikanya kita bernasib baik, tetapi ada masanya kita juga diuji
pelbagai dugaan. Rasa kecewa itu antara ujian dan dugaan yang diberi
kepada kita. Hadapinya dengan tenang dan reda kerana selain memiliki
hikmah tertentu, ia pasti mengajar kita supaya lebih berhati-hati dan
menjadikan kita insaf.

** BERFIKIR*

Senaraikan pro dan kontra apabila anda membuat sesuatu keputusan supaya
anda tidak berasa terlalu kecewa apabila berlaku perkara yang tidak
dijangkakan.

Biarkan ia berlalu dan lama-kelamaan anda akan dapat mengatasinya sendiri.

** BERFIKIRAN POSITIF*

Cuba kenang kembali peristiwa kerana kebahagian yang anda miliki hari
ini mungkin disebabkan pengalaman silam anda. Memang sukar untuk
berfikiran positif apabila berdepan dengan sesuatu tragedi.

Jangan terlalu mengikut perasaan, sebaliknya tumpukan kepada perkara
positif yang pernah anda lakukan dalam hidup. Ia pasti banyak membantu
apabila anda berdepan rasa kecewa.

** LUAHKANNYA*

Bahaya jika memendamkan rasa kecewa kerana ia boleh memakan diri.
Kesannya anda boleh mendapat kemurungan dan tekanan (stress).

Apa yang penting, anda perlu berkongsi rasa itu dengan menceritakannya
kepada orang yang lebih rapat dengan anda. Bagi remaja, ibu bapa adalah
individu paling sesuai. Jika anda mengadu, sedikit-sebanyak perasaan
kecewa itu akan reda dengan pujukan, nasihat dan semangat yang anda
peroleh daripada mereka.

** BERI TUMPUAN PADA HIDUP*

Teruslah berusaha untuk mencapai matlamat diinginkan. Apabila anda
mempunyai fokus, segala cabaran dan rintangan boleh dihadapi dengan
mudah. Apa yang penting, jangan biarkan perkara remeh menghantui anda
sehingga membuatkan anda kecewa.

0 komentar:

Posting Komentar